SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

Masyarakat digesa peka masalah stress suri rumah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 JAN: Suri Rumah Rahmah (SRR) menggesa masyarakat sentiasa peka dan prihatin terhadap masalah stress yang membelenggu suri rumah, pada masa kini.

Pengerusinya, Nurul Huda Ahmad Nawawi berkata, hal itu kerana masih ramai yang beranggapan bahawa suri rumah tidak menghadapi stress memandangkan golongan terbabit hanya duduk di rumah dan ‘tidak bekerja’.

Katanya, tanggapan dan persepsi sedemikian adalah sama sekali tidak benar, sebaliknya suri rumah adalah golongan yang turut tidak terlepas daripada tekanan hidup.

“SRR membuat tinjauan dan soal selidik berkaitan dengan isu suri rumah ini di awal penubuhannya serta ia dijalankan dalam kalangan ahli kami yang berumur 45 tahun ke bawah.

“Antara hasil dapatannya adalah 67 peratus suri rumah merasakan bahawa cabaran paling besar dalam kehidupan suri rumah adalah pembangunan diri (termasuk emosi) serta imej dalam masyarakat.

“Ini adalah dua isu utama yang cuba SPR juarai dan berikan solusi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, SRR akan terus komited mengangkat isu berkaitan suri rumah demi kelangsungan institusi keluarga dalam menuju Malaysia negara Rahmah

“Melihat kepada isu pembangunan emosi suri rumah yang kritikal, kami menganjurkan seminar ‘Suri dan Emosi’ sebanyak dua kali pada tahun lalu serta mendapat sambutan menggalakkan daripada suri rumah sekitar.

“Seminar berlangsung di Bangi dan Melaka itu bertujuan membantu golongan suri rumah memahami sekali gus membantu mereka menangani stress yang berlaku,” katanya.

Katanya, SRR juga memandang serius liputan Wanita Hari Ini (WHI) TV3 dengan tajuk ‘Stress Dalam Kalangan Suri Rumah’ yang bersiaran pada 2 Januari lalu.

“Liputan yang baik ini adalah satu usaha murni daripada pihak media dan sewajarnya dipuji dalam memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan isu suri rumah,” katanya.


Pengarang :