BERITA UTAMASELANGOR

MB: Air Selangor rancang CAPEX RM30 bilion selama 30 tahun

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUTRAJAYA, 4 JAN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) merancang perbelanjaaan modal (CAPEX) sebanyak RM30 bilion untuk tempoh 30 tahun bermula tahun ini, bagi meningkatkan sistem perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program pelaburan CAPEX itu termasuk mengatasi isu air tidak terhitung (non revenue water).

“Ia berlandaskan kepada pelan strategik operasi yang sudah dirangka sebaiknya bagi memenuhi keperluan semasa akan datang.

“Kerajaan Negeri melalui Air Selangor akan terus komited memberikan perkhidmatan pembekalan air yang efisien, efektif, berdaya saing dan mampan demi memelihara kepentingan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Ketiga Kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekala Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Grand Ballroom 2, Hotel Marriott di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar; Timbalan Menterinya, Tengku Zulpuri Raja Puji; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Dato’ Dr Tan Yew Chong; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron dan Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad, Dato’ Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani.

Amirudin berkata, melalui perjanjian itu hasrat memastikan pengurusan industri perkhidmatan air yang holistik di bawah satu operator dimiliki sepenuhnya Kerajaan Negeri tercapai sekali gus dapat memelihara kepentingan negeri dan rakyat secara umum.

“Selepas penstrukturan ini dimuktamadkan sepenuhnya termasuk pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), Air Selangor akan menjadi operator tunggal yang akan melaksanakan aktiviti rawatan dan agihan air secara holistik.

“Kejayaan penstrukturan bererti semua konsesi air akan ditamatkan dan pelbagai lapisan keuntungan akan berakhir, malah Air Selangor juga dapat mengurangkan kos air terawat kepada kadar lebih munasabah.

“Pengurangan kos operasi ini turut memberi kesan positif terhadap kecekapan operasi Air Selangor sekali gus dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan,” katanya.


Pengarang :