BERITA UTAMASELANGOR

MB: Bersama banteras gejala sosial, jayakan ‘safe community’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 JAN: Masyarakat digesa lebih agresif menjadi mata dan telinga Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam mengekang penularan gejala sosial, di kawasan sekitar.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerjasama masyarakat melaporkan sebarang kegiatan jenayah kepada pihak terbabit penting bertepatan dengan hasrat menjadikan Selangor sebagai ‘safe community’.

Katanya, masyarakat seharusnya menyedari bahawa masalah gejala sosial yang wujud pada masa kini dilihat semakin meruncing, malahan menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.

“Usaha murni mencegah gejala ini adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan dan masyarakat, selain perlu bersama menerapkan elemen baik serta menjauhi perkara tidak baik.

“Justeru, besar harapan saya supaya kerjasama berterusan ini akan dapat merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri mengurangkan kadar masalah sosial dan jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Menangani Gejala Sosial : Smart Selangor, Safe Community Sempena Ambang Tahun Baru 2019, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman; EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari termasuk beberapa pimpinan Ahli Dewan Negeri (ADN) serta Ketua-Ketua Jabatan.

Terdahulu, dianggarkan lebih 2,000 pengunjung hadir menjayakan program berkenaan meskipun dalam suasana hujan lebat dan padang yang becak.

Program slot berselawat yang dipimpin Pentadbir Utama Darul Murtadza, Al-Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid itu dimulakan dengan bacaan Al-fatihah berserta doa, disusuli persembahan Maulid dan Qasidah seterusnya bacaan Tausiyah 1 dan Tausiyah 2.

Pada masa sama, Amirudin berkata, program itu bertujuan memupuk budaya hidup komuniti melalui penerapan nilai-nilai murni dan peduli terhadap masalah sosial serta jenayah yang berlaku.

“Ia juga bagi melahirkan generasi dan masyarakat cemerlang serta berdaya saing, sekali gus menjadi aset berkualiti kepada negeri juga negara, selaras menghadapi era globalisasi masa kini yang semakin mencabar.

“Program ini juga dijadikan medium untuk membawa komuniti warga Selangor hadir bersama menyambut ambang 2019 dengan aktiviti yang lebih bermanfaat,” katanya.

 


Pengarang :