SELANGOR

MB: Kadar bayaran bonus ikut KPI bantu motivasi diri

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 JAN: Kerajaan Negeri berpandangan kadar pembayaran bonus mengikut sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada penjawat awam membantu golongan terbabit memotivasikan diri mereka.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sudah tiba masanya untuk seseorang itu dinilai berdasarkan kemampuan dan prestasi secara individu atau jabatan.

“Sejak 2008, Kerajaan Negeri mula memberi insentif kepada jabatan malahan kutipan hasil untuk pejabat tanah sekiranya mana-mana jabatan berjaya kutip lebih daripada sasaran ditentukan, kita akan beri insentif kewangan menjelang masa tertentu.

“Oleh itu, kita mahu membudayakan cara ini kembali namun saya berharap ia masih mampu mengekalkan pentadbiran yang baik, pengurusan cekap dan hasil berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dalam sesi temubual khas bagi mengulas berkenaan #MajuBersama dan Belanjawan Selangor 2019 di salah sebuah siaran televisyen tempatan, semalam.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri sentiasa berfikir untuk memperkasakan, menjaga dan memelihara penjawat awam supaya sentiasa berada dalam keadaan baik.

Terdahulu, Amirudin mengumumkan pada pembentangan Belanjawan Selangor 2019 berkenaan Kerajaan Negeri akan menggunakan sistem KPI bagi menentukan kadar pembayaran bonus buat penjawat awam.

Penggunaan sistem itu menyaksikan tiada lagi pembayaran bonus secara langsung seperti dilakukan sebelum ini.

 


Pengarang :