BERITA UTAMASELANGOR

MB merafak sembah pelantikan Sultan Pahang sebagai Agong

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 JAN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan tahniah dan merafak sembah di atas pelantikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu.

Amirudin berkata, semoga pelantikan dan pengumuman dibuat Majlis Raja-Raja Melayu itu dapat memastikan pelaksanaan dan perjalanan Selangor serta Malaysia berjalan lebih baik juga teratur.

“Saya mewakili rakyat Selangor mengucapkan tahniah dan menjunjung kasih atas pengumuman dan pelantikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Wisma KoHijrah dan Penyerahan Pembiayaan Skim Hijrah Selangor di Wisma KoHijrah, Seksyen 32, di sini, hari ini.

Terdahulu, Sultan Abdullah dipilih selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi tempoh lima tahun, berkuatkuasa 31 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Kenyataan itu menyebut menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen.

Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas), di Istana Negara, hari ini.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara, sejak 13 Disember 2016.

 

 


Pengarang :