SELANGOR

MB puji komitmen Mahmud bangun Pulau Indah

OLEH AFEEQA AFEERA

KLANG, 23 JAN: Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB), Dato’ Mahmud Abbas yang bakal menamatkan perkhidmatannya, pada hujung bulan ini meninggalkan kesan mendalam kepada negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sejak berkhidmat dengan syarikat terbabit pada 2012, Mahmud berjaya mengubah rupa dan penampilan Pulau Indah sebagai kawasan industri mampan serta mampu menarik syarikat terkemuka untuk melabur, di situ.

“Kita kehilangan seorang yang komited terhadap pembangunan Pulau Indah dan CSSB yang juga anak syarikat Kerajaan Negeri.

“Bagaimanapun, saya merelakan dan mungkin ini akan membuka peluang kepada bakat baharu serta Kerajaan Negeri juga anak syarikat lain melebarkan capaian mereka di kawasan baharu dengan rangkaian yang bakal diwujudkan Mahmud,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor ketika menghadiri majlis perpisahan Mahmud, di Selangor Bio Bay Show Gallery, Pulau Indah hari ini.

Hadir sama, EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Mahmud atas sumbangan diberi dan kejayaan meninggalkan legasi yang boleh dibanggakan serta menjadi contoh kepada generasi akan datang.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri menyerahkan sepenuhnya kepada CSSB untuk melantik Ketua Pegawai Eksekutif baharu syarikat terbabit.

“Soal pengganti itu keputusan syarikat. Ada beberapa perbincangan sehingga akhir bulan ini dan nanti kita akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Mahmud akan berkhidmat di CSSB sehingga 31 Januari ini sebelum berlepas ke Madinah untuk memulakan tugas baharu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Knowledge Economic City.


Pengarang :