SELANGOR

MB rakam takziah pemergiaan ADN Semenyih

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 JAN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan rasa dukacita atas pemergiaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Mohd Bakhtiar Mohd Nor yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang padajam 4.45 pagi tadi.

Katanya, Allahyarham adalah seorang wakil rakyat yang prihatin dan giat dalam memperjuangkan nasib penduduk kawasan Semenyih.

“Berita ini mengejutkan kami, di seluruh peringkat negeri berdukacita atas pemergiaan Allahyarham.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat serta diikurniakan husnul khatimah.

“Saya mendoakan semoga ahli keluarga Allahyarham diberi kekuatan untuk mengharungi ujian yang amat berat ini,” katanya ketika ditemui di selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling.

Amirudin berkata, Allahyarham sering meluangkan masa berbincang dengan beliau dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengenai inisiatif bagi penduduk kawasan Semenyih.

“Di peringkat Dewan Negeri Selangor, Allahyarham adalah anggota Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT).

“Sebagai Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Hulu Langat, Allahyarham juga memainkan peranan penting dalam Pakatan Harapan Selangor,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, pimpinan Kerajaan Negeri bersama EXCO berkesempatan menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya di Teratak Tekala, Semenyih sebelum dikebumikan tengah hari ini.

“Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri hari ini dibatalkan ekoran semua pimpinan akan menziarahi jenazah Allahyarham,” katanya.

Jenazah Allahyarham akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang akibat sakit jantung.


Pengarang :