SELANGOR

MB serah pada Majlis Presiden PAKATAN

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 JAN: Keputusan pemilihan calon bagi mengisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan diserahkan sepenuhnya kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, majlis terbabit akan memutuskan sama ada untuk mengekalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai pemegang kerusi atau sebaliknya.

“Saya percaya kita harus beri ruang kepada semua untuk melakukan perbincangan berkenaan isu ini.

“Secara asasnya, Kerajaan Negeri akan beri sokongan penuh kepada Majlis Presiden PAKATAN dan kita perlu bekerja keras untuk kekalkan kemenangan pada 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan bersama Ahli Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE), di ibu pejabat IDE.

Kerusi DUN Semenyih kosong setelah penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia pada 11 Januari lalu ekoran sakit jantung, di Hospital Kajang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Allahyarham menang kerusi DUN Semenyih dengan majoriti 8,964 undi, mengalahkan Datuk Johan Abd Aziz (Barisan Nasional), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM).


Pengarang :