SELANGOR

MBSA juara Tarik Tali Seri Menanti 2019

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 JAN: Pasukan Tarik Tali Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya merangkul gelaran juara di Kejohanan Tarik Tali Terbuka Seri Menanti 2019.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, kejohanan itu diadakan bersempena Sambutan Keputeraan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Ke-71 diadakan di Padang Awam Seri Menanti, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Katanya, kumpulan MBSA A dan B menjadi juara kumpulan masing-masing selepas menewaskan semua pasukan dalam kumpulan serta layak ke peringkat akhir.

“Pada pusingan suku akhir, Kumpulan MBSA A berjaya menewaskan Team Tupai Api daripada Jabatan Bomba Negeri Sembilan manakala Kumpulan MBSA B menewaskan Team Kerbau Balau daripada Melaka.

“Pada pusingan separuh akhir, Kumpulan MBSA A mengalahkan Team MBIP (Johor) dan Kumpulan MBSA B tewas di tangan Team DBKL.

“Pada perlawanan akhir, Kumpulan MBSA A menewaskan Team DBKL sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM 3,000 beserta piala iringan,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, kejayaan itu adalah satu pencapaian yang memberangsangkan sekali gus dapat meningkatkan imej MBSA di mata masyarakat.

Katanya, MBSA amat menggalakkan kakitangan pelbagai peringkat jawatan untuk terbabit secara langsung dalam aktiviti sukan kerana dapat melahirkan kakitangan yang cergas, sihat serta berdisiplin.

“Pasukan Tarik Tali MBSA juga pernah menjuarai beberapa kejohanan lain yang telah dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Sungai Petani, Majlis Bandaraya Jasin, Majlis Bandaraya Teluk Intan dan pelbagai lagi,” katanya.

Kejohanan berkenaan dianjurkan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan dengan kerjasama Kelab Tarik Tali Muhibah Negeri Sembilan.

 


Pengarang :