SELANGOR

MDKL: Sedia tong sampah atau dikenakan kompaun RM1,000

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LANGAT, 15 JAN: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengarahkan semua pemilik premis perniagaan di sini menyediakan tong sampah di tempat masing-masing bermula Januari ini.

MDKL dalam kenyataan memaklumkan, kegagalan berbuat demikian membolehkan pemilik premis dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau tindakan pendakwaan di mahkamah dengan denda tidak lebih RM2,000 serta berisiko untuk dibatalkan lesen.

Katanya, arahan itu dibuat hasil pemantauan MDKL yang mendapati masih ada pemilik premis perniagaan gagal mematuhi syarat pelesenan berkaitan pengurusan pelupusan sampah domestik.

“Lebih mengecewakan apabila pemilik tidak menjaga kebersihan di setiap premis perniagaan.

“Oleh demikian, semua pemilik perniagaan perlu mengikuti arahan ini dalam tempoh seminggu bermula dari tarikh penerimaan notis,” katanya.

MDKL sebelum itu mengeluarkan notis bertarikh 4 Januari mengarahkan peniaga di sekitar Kuala Langat menyediakan tong sampah jenis MGB 120 liter di premis masing-masing.

Pemilik premis juga diingatkan supaya tidak membuang sampah sarap ke dalam longkang sementara beg plastik sampah diikat kemas sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

Pada masa sama, MDKL mengingatkan supaya pemilik premis memastikan tiada kebocoran pada beg plastik berkenaan.


Pengarang :