PBTSELANGOR

MDKL tutup restoran ‘najis tikus’

OLEH NORHAYATI UMOR

BANTING, 12 JAN: Ekoran enggan mematuhi peraturan ditetapkan, premis perniagaan makanan di daerah Kuala Langat berdepan tindakan penutupan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Mohamad Zain A Hamid berkata, restoran berkenaan bukan sahaja kotor, malah terdapat najis tikus, pekerja tidak memakai penutup kepala dan apron serta berkuku panjang.

Katanya, tindakan menutup premis perniagaan itu dilakukan kerana pemiliknya didapati tidak menitikberatkan aspek kebersihan seperti ditetapkan dalam syarat perlesenan MDKL.

“Antara lain adalah tiada suntikan kesihatan, penggunaan kertas bercetak yang tidak dibenarkan semasa menjalankan perniagaan dan peti sejuk yang tidak diselenggara dengan baik.

“Lantai dan dinding premis yang kotor, tandas tidak dicuci mengikut jadual dan tidak memasang perangkap minyak hingga menyebabkan sisa minyak serta makanan terus masuk ke dalam longkang,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sebanyak tiga restoran di Taman Seri Jaromas, Jenjarum disita serta-merta dalam satu operasi bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Agama Islam Selangor.

Beliau berkata, MDKL turut mendapati restoran itu melakukan pelbagai kesalahan lain antaranya tidak memiliki lesen papan iklan, tidak memiliki permit kaki lima dan tidak mempamerkan tanda harga minuman.

“Selain itu, restoran itu tidak memasang perangkap minyak hingga menyebabkan sisa minyak masuk ke dalam longkang, tidak memiliki lesen perniagaan serta meletakkan kerusi dan meja yang menghalang orang awam,” katanya.

Dalam operasi sama, (KPDNHEP) negeri juga melakukan sitaan ke atas minuman tin kerana didapati tidak mempamerkan tanda harga.

Manakala, JAIS pula memastikan pengusaha restoran beragama Islam dan memberi penerangan berkenaan tanda sijil Halal.


Pengarang :