ALAM SEKITAR & CUACA

MetMalaysia keluar amaran angin kencang dan ombak besar

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Angin kencang berkelajuan 60 kilometer (km) sejam dan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter (m)dijangka berlaku di kawasan perairan barat Samui, sehingga malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pada masa ini Ribut Tropika Pabuk berada di Teluk Siam dan dijangka merentasi Segenting Kra.

“Amaran angin kencang dengan kelajuan 50-60km sejam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5m juga dijangka melanda kawasan perairan Timur Samui, dalam tempoh sama,” menurut kenyataan itu yang dipetik BERNAMA.

Keadaan angin kencang dengan kelajuan 40-50km sejam dan mencapai ketinggian 3.5m itu juga dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, dalam tempoh sama.

Sementara itu, angin kencang berkelajuan 40-50km sejam dengan ombak berketinggian sehingga 3.5m dijangka berlaku di kawasan perairan Phuket dan Selat Melaka Utara, hingga 5 Januari ini.

Keadaan itu turut melanda kawasan perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dalam tempoh sama, kata kenyataan itu.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk pekerja di pelantar minyak, menangkap ikan serta perkhidmatan feri

Ia turut berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.


Pengarang :