NASIONAL

METMalaysia: Ribut tropika Pabuk berakhir

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 JAN : Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini memaklumkan ribut tropika Pabuk yang melanda Pulau Langkawi dan sekitar kawasan utara perairan negara, kini sudah berakhir.

Ketua Pengarahnya, Alui Bahari berkata, ribut tropika itu kini didapati berada pada jarak 345 kilometer (km) dari Langkawi dan 362 km dari Arau, Perlis.

Katanya, ribut tropika Pabuk itu dijangka bergerak 15 kilometer sejam (kmsj) ke arah barat laut menuju Teluk Benggala.

“Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat, angin kencang melebihi 50 kmsj dan laut bergelora dengan ketinggian ombak melebihi 3.5 meter di kawasan perairan Phuket.

“Bagaimanapun, kedudukan ribut tropika Pabuk semakin menjauhi perairan Malaysia dan tidak memberi ancaman kepada negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, penduduk dan pelancong di sekitar Langkawi tidak perlu panik dengan keadaan terbabit.

“Pelancong dan penduduk sekitar cuma perlu berhati-hati dengan keadaan angin kuat dan hujan, kesan daripada pinggiran ribut itu,” katanya.


Pengarang :