NASIONAL

MIMOS ketuai konsortium pacu inovasi AR/VR

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara, MIMOS Bhd (MIMOS) membentuk satu konsortium bagi memacu inovasi dalam bidang Realiti Tertambah dan Realiti Maya atau AR/VR serta reka bentuk produk bagi industri di Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, MIMOS berkata, selain agensi itu, konsortium dikenali sebagai Rekacipta Consortium itu turut disertai Virtareal Sdn Bhd yang memiliki kepakaran dalam pembangunan platform AR; Map2U Sdn Bhd yang juga firma perunding Sistem Maklumat Geografi; SysArmy Sdn Bhd, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan keselamatan siber.

“Menerusi pengalaman serta sumber daya luas dalam bidang masing-masing, konsortium ini dijangka menyumbang ke arah membantu industri memberi perkhidmatan lebih berkesan dan meningkatkan penembusan pasaran menerusi perkongsian idea, pandangan dan pengetahuan teknologi.

“Konsortium ini juga dijangka menyumbang kepada pembangunan bakat baharu dengan kecekapan bersesuaian dalam bidang tertentu dan seiring dengan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR),” katanya.

MIMOS berkata, penubuhan konsortium itu juga dapat memacu penggunaan teknologi AR/VR dalam pelbagai sektor industri seperti R&D, pembuatan pintar, pengurusan aset, pelancongan dan pendidikan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi MIMOS, Thillai Raj Ramanathan menyifatkan penubuhan Rekacipta Consortium itu akan dapat memupuk kerjasama strategik antara organisasi berinovatif dalam ekosistem AR/VR bagi memenuhi keperluan industri.

“Seiring peranannya sebagai pemacu 4IR negara, MIMOS amat komited untuk menerajui konsortium dalam usaha melonjakkan pertumbuhan AR/VR yang adalah salah satu daripada sembilan teknologi teras revolusi perindustrian baharu ini.

“Kami akan membangunkan komuniti reka bentuk AR/VR di Malaysia dengan mewujudkan peluang perniagaan baharu ke arah industri reka bentuk AR/VR yang mampan,” katanya.

MIMOS berkata, konsortium itu juga dijangka menarik lebih banyak penyertaan penggiat dan industri serta akademik bagi memanfaatkan ekonomi skala dalam usaha sama perniagaan baharu, khususnya rantaian bekalan elektrikal dan elektronik di Malaysia.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :