NASIONAL

Mohamad: Kementerian sedia dedah laporan pembelian aset meragukan

SHAH ALAM, 11 JAN: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, beliau bersedia mendedahkan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan berhubung kes pembelian aset mencurigakan kementerian ketika pentadbiran kerajaan terdahulu di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kementerian tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan berhubung isu terbabit.

“Saya sedia menjawab apa-apa soalan berkaitan itu jika ditanya di Parlimen,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian di antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi Projek Endowmen Pembangunan Residensi di UiTM Puncak Alam.

Mohamad berkata, laporan kedua jawatankuasa siasatan dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang itu akan diserahkan kepadanya sebelum akhir bulan ini.

Beliau sebelum ini dipetik berkata, pihaknya akan mendedahkan laporan itu kepada umum selepas kementerian menerima laporan kedua daripada jawatankuasa berkenaan yang ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada 30 Mei tahun lalu.

Pada 22 Mei tahun lalu, Mohamad berjanji akan menyiasat segala dakwaan berkaitan Kementerian Pertahanan termasuk isu pembelian dua unit kapal selam Scorpene serta pembaziran dan dakwaan salah guna kuasa membabitkan pembelian aset Angkatan Tentera Malaysia.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :