NASIONAL

Mohd Rushdan kini Timbalan Naib Canselor HEPA USIM

NILAI, 6 JAN: Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2021.

Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan yang tamat tempoh pelantikan pada 31 Dis tahun lalu.

Mohd Rushdan, sebelum ini Pengarah Pusat Jaminan Kualiti, Dasar, dan Kecemerlangan Akademik USIM memiliki ijazah PhD dalam bidang Pengajian Islam dari Universiti of Exeter, United Kingdom, merupakan staf USIM yang pertama dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (HEPA) di USIM.

Sementara itu, dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini, Mohd Rushdan dipetik sebagai berkata, beliau berhasrat untuk memacu kecemerlangan mahasiswa dan alumni USIM untuk bersama menaikkan imej USIM di dalam dan luar negara.

“Kita sedia maklum bahawa mahasiswa dan alumni USIM yang berpengaruh dan berjaya di luar menjadi penanda aras kehebatan sesebuah institusi pendidikan. Ini kerana dalam konteks universiti, alumni menjadi salah satu pemegang taruh yang penting untuk menaikkan imej universiti.

“Selain itu, saya juga berhasrat ingin mewujudkan budaya menyumbang kembali kepada universiti sama ada melalui kepakaran, pembangunan akademik, program sahsiah pelajar, jalinan kerjasama, promosi dan sebagainya,” katanya, lapor BERNAMA.

Mohd Rushdan juga ingin memberi fokus kepada keberhasilan Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli di USIM dan ingin memperkukuhkan kompetensi mahasiswa dalam tiga aspek utama iaitu holistik, seimbang dan berkeusahawanan.


Pengarang :