SELANGOR

MPAJ: 373 kes denggi sejak awal Januari

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 JAN: Sebanyak 373 kes denggi dicatatkan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan satu kes kematian dilaporkan setakat 24 Januari lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, pihaknya turut mengenal pasti lima lokasi panas (lokaliti hotspot) bermula minggu epid keempat sehingga kini.

“Lokasi ini termasuk di Taman Sri Angsana Hilir (Kondominium Sri Angsana Hilir) membabitkan 17 kes dan tempoh wabak melangkaui 64 hari, manakala Taman Bukit Teratai (Jalan Teratai 1/1-1/7) 21 kes dengan tempoh wabak sama.

“Lembah Jaya Utara (Flat Desa lembah Permai) pula mencatatkan 44 kes dengan tempoh wabak selama 54 hari, Jalan Jelatek (Sri Maya Condo) 17 kes, 46 hari tempoh wabak dan Taman Kencana (Jalan Kencana 9,11,15,23,34/2) 10 kes, 33 hari tempoh wabak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ Bil.01/2019, di Menara MPAJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abd Hamid berkata, pihaknya agresif menjalankan pemusnahan tempat pembiakan berkonsepkan ‘Search and Destroy’ sebagai tindakan kawalan memerangi wabak denggi.

Katanya, pemeriksaan tempat pembiakan itu dilakukan di sekitar 200 radius dari lokaliti sporadik dan wabak.

“Pendekatan ekosistem bermula sejak 20 Jun lalu masih diteruskan bagi membendung penularan denggi.

“Bagi aktiviti promosi dan pendidikan di sekolah, selain daripada ceramah berkaitan denggi, pameran, penghapusan tempat pembiakan dan pengedaran risalah turut dijalankan,” katanya.


Pengarang :