PBTSELANGOR

MPK capai sasaran kutipan cukai

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 31 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya mencapai sasaran kutipan cukai ditetapkan Kerajaan Negeri sebanyak RM181.7 juta, dengan lebihan RM4.4 juta sehingga 31 Disember 2018.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, jumlah itu meningkat berbanding tempoh sama, pada 2017 apabila MPK sekadar mengutip RM174.6 juta.

Katanya, untuk cukai taksiran penggal 1/2018, MPK berjaya mengutip RM78.5 juta pada Disember 2018, berbanding RM77.5 juta pada 2017, dengan perbezaan lapan peratus.

“Cukai taksiran untuk penggal 2/2018 pula, perbezaan RM5.7 juta dicatatkan bagi tempoh Disember 2018 dengan kutipan RM75.7 juta berbanding RM70 juta, pada 2017.

“Bagi kutipan tunggakan cukai taksiran pula, kita mencapai 70 peratus sasaran dengan jumlah RM27.5 juta daripada jumlah patut kutip, iaitu RM39.2 juta.

“Ia meningkat sebanyak tujuh peratus berbanding 2017 dengan kutipan RM27.1 juta daripada jumlah patut kutip, iaitu RM43.1 juta,” katanya dalam Mesyuarat Penuh MPK Bilangan 1/2019.

Beliau berkata, orang awam turut diingatkan menjelaskan cukai taksiran penggal 1/2019 sebelum atau pada 28 Februari ini.

“Sebarang pembayaran dibuat selepas tarikh itu akan dikenakan fi notis sebanyak RM20.

“Program sitaan dan rampasan harta akan terus dijalankan bagi akaun harta yang mempunyai tunggakan,” katanya.

Selain itu, bagi meningkatkan jumlah kutipan pada tahun ini, MPK turut meneruskan kempen pembayaran cukai taksiran di dua lokasi sepanjang Februari ini.

Kempen itu akan diadakan di Pusat Membeli Belah Aeon Bukit Tinggi pada 2 hingga 3 dan 9 hingga 10 Februari, manakala aktiviti sama akan berlangsung di Aeon Bukit Raja, pada 16 hingga 17 dan 23 hingga 24 Februari 2019.


Pengarang :