SELANGOR

MPSJ tahan 75 warga asing tanpa izin

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 19 JAN: Seramai 75 orang warga asing ditahan dalam Operasi Bersepadu Premis Perniagaan dan Warga Asing tanpa izin oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Imigresen Selangor.

Timbalan Pengarah Korporat, Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, hasil pemeriksaan dijalankan semasa operasi itu juga mendapati terdapat peniaga serta warga asing tanpa izin yang melanggar peraturan ditetapkan.

“Antaranya, beroperasi tanpa lesen oleh warga asing yang tidak mempunyai permit dan melanggar peraturan yang ditetapkan serta melanggar syarat lesen kerana menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah.

“Mereka ini juga dibawa ke lokap sementara di Pejabat Imigresen Selangor, Kompleks PKNS Shah Alam,” katanya dalam kenyataan.

Azfarizal berkata, operasi dijalankan di tiga lokasi berbeza iaitu di sekitar kawasan Pasar Awam MPSJ SK 10, Seri Kembangan, Pusat Perniagaan Maju Jaya, Taman Puchong Utama serta Pusat Perniagaan Lagoon Perdana, PJS 9, Bandar Sunway.

Katanya, seramai 30 kakitangan Jabatan Pelesenan MPSJ serta 14 kakitangan Jabatan Imigresen Selangor terbabit di dalam operasi itu.

Pada masa sama, katanya, MPSJ akan meneruskan operasi bersepadu dari masa ke masa bagi memastikan peraturan dipatuhi oleh peniaga.

“MPSJ juga menyeru peniaga untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap mereka,” katanya.


Pengarang :