PBTSELANGOR

MPSJ tawar 17 lokasi bazar Ramadan tahun ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 30 JAN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyediakan 17 lokasi bazar Ramadan, merangkumi 1,420 petak niaga, pada tahun ini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, jumlah itu meningkat berbanding hanya 15 lokasi dengan 1,375 petak niaga disediakan, pada tahun lalu.

Katanya, pengurusan bazar berkenaan akan diselia dan diuruskan sepenuhnya Jabatan Pelesenan MPSJ.

“Di Zon Subang, kami menyediakan tujuh lokasi (365 petak), manakala empat lokasi di Zon Puchong (365 petak).

“Sementara itu, bagi Zon Kinrara pula kita menyediakan tiga lokasi (250 petak) dan Zon Serdang termasuk Seri Kembangan juga tiga lokasi (440 petak) ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Permohonan Bazar Ramadan MPSJ 2019 Secara Dalam Talian, di Laman MY@MPSJ, di sini, hari ini.

Terdahulu, MPSJ menjadi Pihak Berkuasa Tempatan pertama di Selangor yang membuka permohonan bazar Ramadan secara dalam talian bagi tahun ini dengan pelaksanaannya memasuki tahun keempat.

Dibuka mulai 30 Januari hingga 17 Februari, peniaga yang berminat memohon permit berkenaan boleh mengemukakan permohonan dalam talian dengan membuat pendaftaran sebagai pengguna [email protected], di laman sesawang www.mpsj.gov.my

Noraini berkata, permohonan permit secara dalam talian itu akan dapat memberi kemudahan kepada semua peniaga bazar Ramadan, khususnya di kawasan pentadbiran MPSJ.

Katanya, pemohon perlu memastikan tiada tunggakan kompaun bagi melicinkan proses permohonan permit berkenaan.

“Kami juga menyediakan terminal komputer, iaitu hab dalam talian MPSJ bersama bantuan pegawai di Ibu Pejabat MPSJ, jika terdapat sebarang kemusykilan berhubung perkara itu.

“Justeru, semua peniaga diingatkan supaya membuat permohonan lebih awal sebelum tarikh tutup bagi mengelakkan kesulitan.

“Kami tidak bertanggungjawab jika terdapat kelewatan permohonan dan akan mengambil tindakan penguat kuasaan terhadap mana-mana pihak didapati menganjurkan aktiviti perniagaan bazar Ramadan tanpa kelulusan,” katanya.

 


Pengarang :