Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam dengan disaksikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kewangan, Putrajaya pada 24 Januari 2020. Foto BERNAMA
NASIONAL

mySalam: Penerima layak terima RM8,000 sekali sahaja

PUTRAJAYA, 24 JAN: Penerima Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) akan mendapat bayaran sekali sahaja sebanyak RM8,000 jika dikenal pasti menghidap salah satu daripada 36 jenis penyakit kritikal.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, skim itu akan memberi bayaran harian RM50 sebagai pendapatan gantian jika penerima menjalani rawatan di mana-mana hospital kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun atau bersamaan dengan RM700 setahun.

Skim mySalam yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, menyediakan perlindungan takaful kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR).

Melaluinya, kerajaan membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa satu daripada 36 penyakit kritikal.

Skim itu melibatkan sumbangan permulaan sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern.

Guan Eng pada majlis pelancaran skim mySalam itu berkata skim itu bermula pada 1 Januari lepas dan golongan B40 yang layak boleh membuat tuntutan mulai 1 Mac ini.

Selepas tarikh tersebut, Lim berkata semua penerima B40 yang layak di bawah skim itu akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan perkhidmatan sokongan pelanggan juga akan mula beroperasi.

“Jika terdapat tuntutan, penerima boleh mengemukakan tuntutan tersebut melalui portal mySalam dalam talian atau di mana-mana pejabat Great Eastern di Malaysia dengan dokumentasi yang lengkap.

“Setelah tuntutan diluluskan, pembayaran dikreditkan terus ke akaun bank penerima,” katanya, sambil menambah butiran lanjut mengenai proses tuntutan akan diumumkan pada akhir bulan ini.

Beliau berkata, 3.69 juta individu golongan B40 berumur antara 18 hingga 55 tahun yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup layak menikmati skim tersebut.

Katanya, kerajaan menggunakan sumbangan RM2 billion untuk membayar kadar premium insurans perlindungan sosial sebanyak RM112 untuk setiap individu di bawah skim itu.

“Kadar premium ini ditetapkan pada kadar kos dan tanpa keuntungan untuk syarikat insurans,” katanya.

Mengenai caruman RM2 billion sebagai dana permulaan skim mySalam, Guan Eng berkata ia merupakan sumbangan tunai pemegang saham insurans asing sebagai alternatif kepada syarat pelupusan lebihan pegangan saham sebanyak 30 peratus, kepada tahap pegangan tidak melebihi 70 peratus ditetapkan kerajaan.

“Pilihan untuk menyumbang ini adalah selaras dengan objektif kerajaan untuk memberikan tumpuan khusus dan secara langsung kepada golongan B40, agar memanfaatkan jutaan orang dan bukan hanya segelintir kecil sahaja,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :