NASIONALSUKANKINI

NGO puji kerajaan larang atlet Israel sertai WPSC

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Satu gabungan 29 badan bukan kerajaan (NGO) menyokong keputusan kerajaan tidak membenarkan atlet Israel memasuki Malaysia untuk menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 (WPSC) yang dijadualkan berlangsung, pada Julai.

Katanya, tindakan itu sejajar dengan dasar kerajaan Malaysia selama ini yang menyekat mana-mana pemegang pasport Israel daripada memasuki negara ini, dan dasar itu mesti dikekalkan tanpa sebarang pengecualian.

“Memboikot dan mengasingkan Israel adalah usaha paling minimum yang boleh dan harus kita lakukan untuk menyuarakan kebencian kita terhadap kezaliman rejim Zionis Israel.

“Langkah pemboikotan terbukti berhasil menjatuhkan rejim aparteid Afrika Selatan dahulu. Oleh itu, ia juga bakal berhasil menjatuhkan rejim aparteid Israel.

“Kerajaan Malaysia mengambil langkah yang tepat dan betul dalam menghalang atlet Israel memasuki negara ini dan oleh itu, layak diberi pujian dan sanjungan,” menurut kenyataan gabungan itu, semalam.

Antara NGO itu ialah Palestinian Cultural Organisation Malaysia, Viva Palestina Malaysia, al-Quds Foundation Malaysia, Humanitarian Care Malaysia dan ASEAN Coalition for Palestine.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mengekalkan pendiriannya untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching mulai 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Beliau berkata, jika skuad Israel tetap berkeras untuk menyertai kejohanan itu, ia akan melanggar larangan tersebut.


Pengarang :