NASIONAL

OKU digalak sertai latihan kemahiran untuk persijilan

BATU GAJAH, 17 JAN: Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dinasihatkan supaya mengikuti program latihan kemahiran disediakan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan bagi membolehkan mereka memperoleh persijilan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, latihan atau pembiayaan diberikan kepada golongan itu akan menjadikan kehidupan mereka stabil sepanjang masa dan lebih maju, pada masa akan datang.

“Kita juga mengharapkan pertubuhan bukan kerajaan dan pihak pembangunan usahawan menyediakan program latihan kemahiran serta memberikan modal atau geran pembiayaan untuk OKU memulakan atau mengembangkan perniagaan serta bidang keusahawanan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pekerjaan, Kemahiran dan Keusahawanan Insan Istimewa di Kampung Batu Enam, Jalan Tanjung Tualang di sini hari ini.

Katanya, antara pusat latihan kemahiran yang menawarkan pelbagai kursus termasuk Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia di Batu Gajah dan di Nibong Tebal, Pulau Pinang; Pusat Latihan Teknologi Tinggi, Taiping; serta Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI) di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Pada majlis itu, Mahfuz turut menyampaikan geran bantuan perniagaan kepada 11 penerima yang layak membabitkan peruntukan lebih RM300,000 di bawah Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya serta Program Pembangunan Usahawan Mikro Bumiputera

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :