NASIONAL

OP Mega: Imigresen cekup 50 GRO malam tahun baharu

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Seramai 50 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam dan Thailand yang leka melayan pelanggan, pada malam tahun baharu ditahan dalam Op Mega 3.0 oleh Jabatan Imigresen Kuala Lumpur.

Operasi yang bermula kira-kira jam 9.30 malam tadi dan berakhir jam 5 pagi ini menyaksikan sepasukan anggota penguat kuasa melakukan serbuan di tiga lokasi membabitkan sebuah pusat karaoke di Jalan Pudu serta dua spa, masing-masing di Jalan Kuchai dan Jalan Raja Laut, di sini.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah spa di Jalan Kuchai yang membawa tangkapan 18 wanita serta lapan lelaki warga asing.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, empat lelaki warga tempatan yang dipercayai pelanggan serta ‘penjaga’ GRO turut ditahan.

“Pemeriksaan di spa berkenaan mendapati mereka mempunyai pintu laluan khas buat GRO terbabit tinggal serta berehat sebelum dibida pelanggan bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata, pihaknya menahan enam wanita dan dua lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah spa di Jalan Raja Laut, selain 26 GRO serta seorang wanita tempatan di sebuah pusat karaoke, di Jalan Pudu.

“Kebanyakan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, salah guna pas lawatan sosial serta pas perkahwinan dengan warga tempatan untuk menetap di negara ini bagi melakukan aktiviti tidak bermoral,” katanya.

Hamidi berkata, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan kebenaran berada di negara ini.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :