PBTSELANGOR

Padah abai kebersihan, dua premis makanan diarah tutup serta merta

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 3 JAN: Dua premis menjual makanan di daerah itu diarah tutup serta-merta akibat mengabaikan aspek kebersihan selepas serbuan dijalankan penguat kuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), pada 31 Disember lalu.

Operasi penutup bagi tahun 2018 itu membabitkan 16 anggota terdiri daripada Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perbendaharaan dan Unit Korporat serta Perhubungan Awam MDKL.

Pengarah Penguat Kuasa MDKL, Nordila Yasir berkata, arahan penutupan itu turut dikeluarkan kerana pemilik premis berkenaan didapati melanggar pelbagai peraturan ditetapkan.

Katanya, premis terbabit disita di bawah Undang-Undang Kecil 62, Undang-Undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan (MDKL) 2007 selain diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja pembersihan serta penambahbaikan seperti diarahkan.

“Antara kesalahan dilakukan seperti tidak memakai apron dan penutup kepala di bawah Seksyen 8 (5) Undang-Undang Kecil Pengendali makanan (MDKL) 2007, tidak menyediakan perangkap makanan hingga menyebabkan sisa makanan dan minyak terus masuk ke dalam longkang di bawah Seksyen 19 (1) (d) Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007.

“Premis ini juga tidak menyelenggara premis dalam keadaan baik dan bersih pada setiap masa di bawah Seksyen 15 Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007, di mana tindakan pembersihan hendaklah dilakukan serta-merta,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, terdapat juga peniaga yang melakukan pelbagai kesalahan lain sepanjang pemeriksaan dibuat.

“Antaranya, mempamerkan iklan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil 7, Undang-Undang Kecil Iklan, tiada lesen perniagaan di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan Dan Perindustrian dan membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan di bawah Undang-Undang Kecil 4, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah Sarap,” katanya.

Sehubungan itu, Nordila menyeru kepada semua peniaga khususnya di daerah itu supaya sentiasa mematuhi peraturan dan menjaga mutu perkhidmatan masing-masing.

 


Pengarang :