PAKATAN disaran wujud ADN tanpa kawasan, penuhi kuota wanita | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Norway

Wartawan

Norhayati Umor

PAKATAN disaran wujud ADN tanpa kawasan, penuhi kuota wanita

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 15 JAN: Negeri di bawah Pakatan Harapan (PAKATAN) disaran meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi mewujudkan Ahli Dewan Negeri (ADN) tanpa kawasan dalam memberi ruang kepada wanita mengisi kuota 30 peratus berada dalam kelompok pembuat dasar.

Ketua Sayap Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH), Dr Siti Mariah Mahmud berkata, berdasarkan hasil kajian dibuat penyelidik bebas Institut Wanita Berdaya (IWB) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu mendapati, kuota berkenaan masih belum dicapai.


Malah, katanya, kuota 50:50 (wanita:lelaki) hanya boleh tercapai selepas tempoh 145 tahun akan datang sekiranya parti politik terus mendiskriminasi golongan wanita berdasarkan kajian terbabit.

“Ketika ini, prestasi wanita pada PRU14 hanya 14.4 peratus (32 daripada 222 kerusi) di peringkat parlimen manakala DUN pula sebanyak 12.3 peratus (62/505).

“Jika dalam tempoh 60 tahun ini, hanya peratusan itu dicapai maka kita memerlukan 145 tahun untuk mencapai kuota 50:50.

“Ini membuktikan pembabitan wanita dalam politik masih jauh ketinggalan. Oleh itu, kita perlu mendesak parti politik untuk melaksanakan inisiatif seperti Terengganu yang melantik ADN tanpa kawasan.

“Daripada empat kuota ADN tanpa bertanding itu, ia boleh diisi wanita dan golongan minoriti lain,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di Seminar Nasional Wanita dan Politik: Ke mana hala tuju politik negara? di Hotel Armada, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi IWB, Dr Daroyah Alwi dan EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Pada masa sama, Dr Mariah yang juga EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga berkata, PAKATAN juga perlu menunaikan janji menubuhkan Institusi Politik Wanita Malaysia untuk menembusi siling politik wanita itu.

Katanya, institusi itu boleh dilaksanakan dengan silibus ditetapkan, latihan dan kemahiran yang tidak terhad kepada mana-mana parti politik.

“Justeru, kita akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi mengutarakan hasrat ini,” katanya.

 

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next