SELANGOR

PAKATAN mesyuarat minggu depan tentukan calon PRK Semenyih

OLEH NORHAYATI UMOR

BANTING, 20 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor akan bermesyuarat minggu depan bagi menentukan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Pengerusinya, Amirudin Shari berkata, semua parti berhak menghantar senarai calon masing-masing, bagaimanapun keutamaan diberikan kepada parti BERSATU.

“Semua boleh menghantar senarai calon, namun kita serahkan kepada Majlis Presiden PAKATAN untuk memutuskan calon yang akan bertanding.

“Ketika ini, semua parti boleh mencadangkan nama jika berminat tetapi ia tertakluk kepada Majlis Presiden. Pastinya, BERSATU di kawasan itu perlu bersedia.

“Oleh itu, dalam minggu depan, kita akan putuskan dari parti mana yang bertanding,” katanya ketika ditemui selepas Kejohanan Golf Amal Surau Ar-Rayyan, Seksyen 7 di Amverton Cove Golf & Island Resort di sini, hari ini.

Amirudin turut mengingatkan PRK DUN Semenyih itu bukan tugas calon sahaja sebaliknya ia kerja berkumpulan.

“Ia juga bukan mudah untuk PAKATAN berdepan dengan PRK keempat ini, namun kita perlu teruskan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyambut baik cadangan untuk melakukan saringan kesihatan kepada mana-mana calon yang mahu bertanding dalam pilihan raya.

“Empat PRK sebelum ini juga diadakan disebabkan Ahli Dewan Negeri (ADN) mmeninggal dunia akibat masalah kesihatan dan kemalangan.

“Justeru, cadangan ini boleh diperhalusinya pada masa akan datang,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan PRK DUN Semenyih berikutan kematian ADNnya, Mohd Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Januari lalu, akibat serangan jantung.


Pengarang :