NASIONAL

PBT disaran bantu kuat kuasa larangan merokok – Zuraida

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 JAN: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara disaran untuk memainkan peranan bagi penguatkuasaan kawasan bebas rokok, di restoran seperti yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bermula 1 Januari lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, kerjasama PBT bersama penguat kuasa KKM itu bagi memastikan peraturan terbabit dapat dikuat kuasakan lebih cekap dan efisien.

“PBT boleh memantau sama ada pengusaha dan pengunjung restoran patuh atau tidak peraturan larangan merokok ketika menjalankan pemeriksaan premis makanan.

“Tindakan ini juga mencerminkan usaha kerajaan dalam membentuk Malaysia sebagai sebuah negara maju berasaskan pembangunan komuniti dan generasi mampan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, KPKT turut menyambut baik inisiatif dan usaha berterusan KKM bagi mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan bersih.

“Semoga dengan usaha murni ini dapat membentuk budaya lebih sihat untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.


Pengarang :