NASIONAL

Pejabat TPM nafi lulus teks ucapan pelancaran EM-IIG

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JAN: Pejabat Timbalan Perdana Menteri menafikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pihaknya meluluskan teks ucapan yang dibacakan pada majlis pelancaran projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi ‘Enhanced Malaysia International Internet Gateway’ (EM-IIG) yang dibangunkan oleh Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd awal hari ini.

Dalam kenyataan pihaknya berkata, penggunaan nama Timbalan Perdana Menteri tanpa kebenaran adalah satu perkara serius dan tindakan tegas akan diambil jika situasi seperti itu berulang.

“Wan Azizah tidak pernah sama sekali berkata bahawa kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada pelaksanaan projek EM-IIG dan juga tidak mewakilkan kepada sesiapa untuk membaca teks ucapan beliau pada majlis tersebut,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memberi amaran kepada semua organisasi supaya tidak menggunakan atau mengedarkan bahan seperti teks ucapan yang menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri tanpa kebenaran.

“Menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri tanpa kebenaran beliau adalah perkara yang serius,” katanya.


Pengarang :