NASIONAL

PeKa B40 dilaksanakan Mac ini

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 28 JAN: Skim Peduli Kesihatan Kumpulan B40 (PeKa B40) akan dilaksanakan bermula Mac ini secara berfasa membabitkan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan berusia 50 tahun ke atas.

Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Zulkefly Ahmad berkata, PeKa B40 dapat menampung 800,000 penerima berdasarkan konsep ‘first come, first served’.

Katanya, skim itu juga memberi penekanan kepada pengesanan awal penyakit tidak berjangkit yang kerap dialami kumpulan berkenaan lebih lagi apabila umur meningkat.

“Penerima BSH dan pasangan berumur 50 tahun ke atas layak menerima skim ini secara automatik dan tiada pendaftaran diperlukan.

“PeKa B40 dibangunkan dengan empat manfaat iaitu saringan kesihatan, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan tambang pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran PeKa B40, di Dewan Serbaguna, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di sini.

Dr Zulkefly berkata, manfaat saringan meliputi pemeriksaan kesihatan mental, payudara dan klinikal prostat selain ujian darah, diagnosis, kolestrol, air kencing dan buah pinggang.

Katanya, bagi bantuan alat pernafasan pula, had maksimum berjumlah RM20,000 seumur hidup akan diberikan kepada penerima manfaat yang dirawat di hospital KKM sahaja.

“Manakala, insentif melengkapkan rawatan kanser pula, akan dibayar sebanyak RM1,000 secara berperingkat kepada pesakit yang melengkapkan rawatan di hospital KKM.

“Selain itu, insentif tambang pengangkutan khusus kepada penerima bagi manfaat 2 dan 3 iaitu sebanyak RM500 kepada penerima Semenangjung dan RM1,000 kepada penerima Sabah dan Sarawak,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, KKM akan bekerjasama dengan klinik dan makmal swasta berminat menjalankan saringan kesihatan dan klinik yang terbabit tidak dikenakan yuran pendaftaran atau perkongsian fi.

“Skim ini dirancang untuk memberi nilai tambah dan merupakan skim pelengkap kepada perkhidmatan sedia ada tanpa menjejaskan klinik dan hospital KKM bagi pesakit yang bukan penerima PeKa B40.

“Bayaran RM1 bagi pesakit luar dan RM5 bagi klinik pakar dikekalkan tanpa perubahan untuk mereka,” katanya.


Pengarang :