BERITA UTAMASELANGOR

Pelaburan Selangor RM8.24 bilion, kekal destinasi tumpuan pelabur

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 10 JAN: Selangor kekal mendominasi carta pelaburan terbesar negara apabila berjaya menarik tumpuan pelabur domestik dan antarabangsa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sehingga September 2018 sahaja Selangor sudah pun mencatatkan jumlah pelaburan RM8.24 bilion berbanding jumlah keseluruhan pelaburan RM5.59 bilion pada 2017.

“Ini semua didorong kepercayaan, keyakinan komuniti perniagaan sama ada domestik atau luar negara kepada sistem pentadbiran dan pengurusan kita yang berteraskan prinsip berintergriti, ketelusan serta kebertanggungjawaban yang baik atau apa yang disebut tadbir urus yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Institusi Agama Sempena Program Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah di sini, hari ini.

Amirudin berkata, keadaan ini menyebabkan Selangor kekal sebagai penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di peringkat nasional.

Katanya, beliau akan memastikan tadbir urus yang baik ini dikekalkan bagi menjamin keyakinan pelabur berterusan.

Bagaimanapun katanya, angka pertumbuhan ini tidak memberi makna sekiranya Kerajaan Negeri tidak menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Sebaliknya kata Amirudin, kemakmuran ekonomi Selangor haruslah diseimbangkan dengan menyalurkan kepada program mensejahterakan dan memperkasakan rakyat.


Pengarang :