NASIONALPENDIDIKAN

Pelajar B40 boleh bayar yuran secara ansuran-MARA

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi kelonggaran kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) untuk membayar yuran pendaftaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) secara ansuran atau memohon penangguhan bayaran.

MARA dalam satu kenyataan berkata, pelajar yang tidak berkemampuan untuk membuat pembayaran penuh, pada hari pendaftaran diminta memaklumkan kepada pengurusan maktab bagi memohon penangguhan bayaran atau melunaskan secara ansuran.

“MARA menetapkan bayaran yuran pendaftaran bagi pelajar baharu Tingkatan 1 dan 4 untuk kemasukan ke MRSM 2019 sebanyak RM342 dengan sebahagian besar daripada yuran itu adalah bagi kegunaan dan menampung aktiviti pelajar sepanjang pembelajaran mereka di MRSM.

“Pelajar dan ibu bapa tidak perlu bimbang kerana MARA sentiasa memberi keutamaan kepada pelajar B40 serta memastikan cita-cita mereka untuk melanjutkan pelajaran ke MRSM tidak terhalang,” katanya lapor BERNAMA.

Pada masa sama, MARA turut memperkenalkan Program Bantuan Untuk Pendidikan Mara (BUDI) yang menyasarkan 500 pelajar tahun ini dalam usaha membantu pelajar miskin tegar.

Katanya, melalui skim itu, pelajar yang terpilih tidak akan dikenakan bayaran yuran, malahan turut dipertimbangkan untuk mendapat bantuan wang saku RM50 sebulan serta pengecualian bayaran wang caruman RM60 sebulan.

“Bantuan ini ditaja beberapa syarikat berkaitan kerajaan dan pusat zakat, justeru MARA turut mempelawa syarikat dan orang ramai terutama anak anggota Persatuan Bekas Pelajar MRSM Se-Malaysia yang berpeluang mendapat pendidikan terbaik MRSM sebelum ini untuk turut menyumbang kepada BUDI.

“Semakin besar sumbangan diterima, semakin ramai anak di bawah kumpulan B40 dibantu sepanjang pembelajaran mereka di MARA,” katanya.


Pengarang :