NASIONAL

Pelajar sekolah terbabit dadah perlu jalani pemulihan

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta pihak berkuasa mengadakan saringan penyalahgunaan dadah terhadap pelajar sekolah, disusuli program pemulihan dan pencegahan.

Presidennya, Kamarozaman Abdul Razak berkata, program itu juga perlu membabitkan mereka yang bergaul dengan pelajar berkenaan di luar waktu sekolah, termasuk keluarga dan rakan sebaya, kerana pelajar terbabit memperoleh dadah dari luar kawasan sekolah.

“Pihak berkuasa perlu memainkan peranan bukan setakat dengan melakukan saringan tetapi terbabit dengan lebih aktif dalam usaha pemulihan dan pencegahan terhadap pelajar berkenaan.

“Sekolah sudah melakukan pelbagai program berkaitan penyalahgunaan dadah tetapi masyarakat perlu memahami kita hanya boleh melakukan tindakan di dalam sekolah. Di luar sekolah, kita tidak boleh kawal,” katanya kepada BERNAMA.

Terdahulu, seramai 1,709 pelajar sekolah menengah daripada 41,741 yang disaring Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), di 178 kawasan berisiko tinggi didapati positif dadah, setakat Oktober lalu.

Turut dilaporkan, kebanyakan pelajar itu menggunakan dadah jenis methamphetamine kerana ia lebih murah dan senang didapati.

 


Pengarang :