NASIONAL

Pelakon drama 90-an meninggal dunia

SHAH ALAM, 1 JAN: Industri hiburan tanah air hari ini dikejutkan dengan berita kematian pelakon Mior Ahmat Zaudi, yang popular dalam drama televisyen sekitar 90-an.

Aktor berusia 66 tahun itu menghembuskan nafas terakhir, pada jam 6 pagi tadi, di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat masalah jantung dan pendarahan dalam otak.

Memetik portal Harian Metro, anak Allahyarham yang dikenali sebagai Mimi berkata, ayahnya dimasukkan ke PPUKM pada Jumaat lalu ekoran demam panas.

“Doktor kemudian mengesan ayah mempunyai masalah jantung dan memberikan rawatan rapi.

“Jenazah ayah akan dimandi dan disolatkan di Masjid Nurul Ihsan, Taman Seri Cheras, Batu 9, Cheras pada tengahari ini. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cheras Perdana,” katanya.

Allahyarham Mior sepanjang hayatnya pernah membintangi drama bersiri Spektra dan drama purba Kota Setia sekitar 1990-an serta membintangi filem Momok arahan M Jamil, pada 2009.


Pengarang :