SELANGOR

MB: Pembangunan rumah ibadah perlu ikut undang-undang

OLEH NAZLI IBRAHIM

BATU CAVES, 21 JAN: Pembangunan rumah ibadah di Selangor perlu memenuhi keperluan undang-undang bagi mengelakkan timbul masalah berbangkit pada masa hadapan khasnya membabitkan isu keselamatan orang ramai.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ini termasuk permohonan pihak pengurusan kuil yang mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa selepas rumah ibadah terbabit siap dibina.

“Tidak ada orang atau mana-mana pihak boleh mengatasi undang-undang di mana ini adalah prinsip kita dan kalau hantar semua dokumen lengkap, saya rasa tiada kekangan atau halangan.

“Apa yang terjadi sebelum ini ada bangunan dibina di sini, sebahagiannya dibina dahulu dan selepas itu baharul ada permohonan serta ini yang dimaklumkan di mana kes ini sudah diteliti sejak 2008 dan 2009 lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan sumbangan buah-buahan dan air minuman serta menyaksikan sambutan Thaipusam di perkarangan Kuil Subramaniam, Batu Caves di sini, hari ini.

Amirudin berkata, pihak bertanggungjawab sepatutnya perlu mendapatkan kelulusan kebenaran merancang terlebih dahulu sebelum memulakan projek membina rumah ibadah bagi mengelakkan kesulitan dalam memenuhi keperluan syarat peraturan bangunan.

Katanya, antara perkara dipandang serius Kerajaan Negeri termasuk isu membabitkan sijil menduduki berikutan membabitkan keselamatan orang ramai.

“Cuma beberapa perkara seperti sijil menduduki, kalau kita masih belum yakin berdasarkan dokumentasi sedia ada bahawa bangunan itu selamat didiami atau digunakan, ini memerlukan pihak berkenaan berikan lagi butiran, perkara ini perlu dibincangkan secara mendalam, bukan semasa Thaipusam sahaja.

“Saya sedia melihat kembali, kalau ada dah lengkap segala permohonan mereka, saya tiada masalah dan kalau ada yang masih terdapat sedikit masalah mereka haruslah penuhi dokumentasi diperlukan,” katanya.


Pengarang :