SELANGOR

Pembeli teruja terima kunci Simfoni Rumah SelangorKu

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 6 JAN: Hanya RM100,000! Itulah harga yang ditawarkan pemaju hartanah terkenal, Eco World Development Group Berhad (Eco World) menerusi rumah mampu milik, Rumah Selangorku.

Menerusi ‘Simfoni’, pangsapuri 11 tingkat itu dibina dalam kawasan rumah mewah Eco Majestic kini siap sepenuhnya pada September tahun lalu.

Mempunyai tiga blok, sebanyak 870 unit ditawarkan dengan keluasan 750 kaki persegi dan disediakan tiga bilik tidur serta dua bilik air.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau bersyukur apabila projek berkenaan siap sepenuhnya bagi memenuhi keperluan penduduk Selangor khususnya golongan kurang berkemampuan.

“Dengan harga, keluasan kaki persegi, penyediaan dua buah tempat letak kenderaan, surau, dewan dan kemudahan riadah sebenarnya sangat membebankan kerajaan.

“Namun, ketika saya menjadi Dato’ Menteri Besar, saya menekankan bahawa pemaju perlu menyediakan semua keperluan ini kepada rakyat Selangor demi keselesaan pembeli,” katanya dalam Majlis Penyerahan Kunci Simfoni Rumah SelangorKu, di Eco Majestic di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berharap pembeli dapat menjaga unit kediaman itu dengan baik sekali gus memastikan semangat kejiranan dan keharmonian dapat dipertahankan.

Sementara itu, pengaturcara komputer, Husni Abu Mansor, 36, menyifatkan ia sebagai rezeki apabila berjaya memiliki rumah itu.

Katanya, beliau berasa sedikit terbeban apabila terpaksa menyewa kediaman untuk keluarganya ketika kos sara hidup yang meningkat.

“Saya mengetahui akan tawaran rumah ini pada 2015 apabila disiarkan SelangorKini.

“Alhamdulillah, percubaan pertama berjaya dan saya di antara yang bertuah berjaya memilikinya, terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin dengan nasib rakyat,”katanya.

T Selvemaler, 55, pula menyifatkan ia sebagai mimpi kerana diberi peluang memiliki rumah terbabit.

“Saya bertuah dan gembira dengan apa dilakukan Kerajaan Negeri kerana memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah khususnya golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Selain itu, Carlyn Yup, 33, pula tidak sabar untuk berpindah ke rumah baharunya yang dianggap ‘tuah kepada keluarganya.

“Saya mempunyai enam anak dan sudah tentu teruja dengan rumah pertama kami dan saya akan berpindah hari ini juga.

“Kawasan di sini sangat cantik, banyak kemudahan sesuai dan memberi keselesaan kepada sesi keluarga,” katanya.


Pengarang :