NASIONAL

Pemberian AP sisa plastik belum diluluskan – Zuraida

SUNGAI PETANI, 6 JAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih belum meluluskan sebarang pemberian lesen import (AP) bagi sisa plastik kepada mana-mana syarikat sejak ia dibekukan pada Julai tahun lalu.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun sebelum ini pihaknya menetapkan pemberian AP sisa plastik dihentikan untuk tempoh tiga bulan, sehingga kini kelulusan masih belum diberikan bagi memastikan setiap prosedur baharu ditetapkan kementerian dipatuhi pihak industri.

“Sebelum ini, terdapat 114 syarikat mempunyai AP sisa plastik, namun hanya 54 syarikat aktif dan daripada jumlah itu hanya lapan betul-betul mematuhi syarat ditetapkan.

“Sekarang semuanya perlu mohon semula AP ikut prosedur dan syarat baharu.

“Selepas dibekukan dan permohonan untuk AP dibuka semula, hanya 19 syarikat memohon dan pihak saya akan meneliti betul-betul sama ada semua syarikat ini layak diberi AP sisa plastik itu,” katanya kepada media selepas menyerbu sebuah kilang haram didakwa mengitar semula sisa plastik di Kawasan Perindustrian Sungai Petani di sini, malam tadi.

Beliau berkata, bagi pemilik kilang kitar semula sisa plastik yang beroperasi secara haram pada masa ini, pihaknya memberi peluang kepada mereka untuk segera membuat permohonan AP, namun operasi mereka harus dihentikan segera sehingga mendapat lesen.

“Kalau operasi mereka bertepatan dengan apa kita nak, kita akan luluskan kerana tak nak merugikan industri berpotensi ini kerana ketika ini di Malaysia bernilai RM30 bilion.

“Ataupun pemilik kilang (beroperasi tanpa lesen) boleh mencari cara melupuskan sisa plastik dengan memberikannya kepada syarikat yang ada lesen untuk proses secara sah,” katanya

Beliau berkata, pihaknya turut mengarahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk memastikan setiap kontena sisa plastik yang masuk ke negara ini mematuhi prosedur serta peraturan baharu berkaitan sisa plastik ditetapkan KPKT.

Pada Julai tahun lalu, KPKT mengumumkan pemberian AP sisa plastik dihentikan untuk tempoh tiga bulan susulan insiden pencemaran serius di Kuala Langat, Selangor dikatakan berpunca daripada kilang memproses plastik import secara haram.

Zuraida kemudian dilaporkan berkata pemberian AP bagi sampah plastik akan diteruskan, namun dihadkan kepada syarikat yang layak dan memenuhi syarat kelulusan ditetapkan kementerian itu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :