NASIONAL

Pemimpin kerajaan mesti jadi juara perangi rasuah

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 10 JAN: Pemimpin kerajaan diingatkan supaya tidak meletakkan tanggungjawab memerangi rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Khas Kabinet Anti Rasuah (JBKAR) dan pihak berkuasa lain semata-mata.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebaliknya setiap menteri dan pemimpin lain dalam kerajaan hendaklah bersama-sama menjadi juara dalam usaha memerangi rasuah.

“Semua anggota pentadbiran, Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan juga mesti jadi juara anti rasuah, bukannya Perdana Menteri sahaja tetapi semua pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Anti Rasuah (JBKAR) Kali Ke-6 di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, semua pihak harus membabitkan diri dalam rancangan Anti Rasuah Nasional bakal dilancarkan nanti.

Ketika menyentuh isu belanjawan, Perdana Menteri berkata, masih terdapat banyak kelemahan dalam pengurusan kewangan negara yang perlu diperbaiki.

Katanya, bagi mengatasi langkah itu kerajaan akan menambah beberapa peraturan baharu bagi mengemaskan lagi prosedur perbelanjaan.

 


Pengarang :