SELANGOR

Penantian terlerai, penduduk Kampung Sungai Serai terima Notis 5A

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI BULOH, 23 JAN: Penantian hampir 30 tahun 45 penduduk Kampung Sungai Serai akhirnya terlerai apabila memperoleh surat tawaran pemilikan tanah (Notis 5A) yang disampaikan sendiri Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Berlangsung di Dataran Setia Kundang beliau berkata, menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri menyediakan inisiatif terbaik bagi memudahkan rakyat memiliki aset sendiri dan diharapkan ia tidak dijual demi sedikit keuntungan.

“Ini adalah bukti bahawa Kerajaan Negeri berusaha secara berterusan untuk membantu rakyat Selangor memperoleh hak milik tanah selari dengan konsep ‘Merancakkan Ekonomi, Memberdayakan Rakyat dan Mensejahterakan Negeri’ yang saya wacanakan semasa pembentangan Belanjawan Negeri 2019.

“Adalah menjadi agenda utama Kerajaan Negeri membantu dan membela rakyat memperoleh milikan tanah untuk kediaman yang telah lama diduduki tetapi tidak mempunyai sebarang pegangan hak milik,” katanya.

Amirudin berkata, usaha pembelian milikan ini akan diteruskan tetapi mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan kerja lapangan selain menyemak semula senarai kerana terdapat pemohon lama yang sudah meninggal dunia tetapi usaha itu diteruskan waris terdekat.

Beliau berkata, dengan pemberian milikan ini akan memudahkan penerima merancang kehidupan masa hadapan tambahan premium nominal yang dikenakan hanya RM1,000 dengan syarat ia tidak boleh dijual kepada pihak lain.

Turut hadir Ahli Parlimen Selayang, William Leong, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuang, Salehuddin Amirudin, ADN Rawang, Chua Wei Kiay serta Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Dalam majlis sama, Amirudin turut menyampaikan sumbangan bantuan kepada mangsa banjir kilat serta Jom Shopping sempena sambutan Tahun Baru Cina.

 


Pengarang :