BERITA UTAMANASIONAL

Pendeposit TH tidak perlu kembalikan hibah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUTRAJAYA, 8 JAN: Pendeposit Tabung Haji (TH) tidak perlu mengembalikan semula hibah diterima walaupun terdapat unsur penyelewengan akaun sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kesalahan penyelewengan sebenarnya berpunca daripada pihak pengurusan dan ia bukan masalah yang perlu ditanggung pendeposit.

“Kami tidak mahu menimbulkan kesukaran kerana kesalahan ini dibuat pihak yang menerima dan bukan pendeposit. Jadi, pendeposit tidak perlu bimbang untuk membayar balik.

“Kami mendedahkan isu penyelewengan ini supaya masalah pengurusan dapat diperbaiki semula mengikut cara yang betul, sekali gus mengelakkan perkara sama berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Majlis Penyerahan Cek Sekolah Pondok Berdaftar, di Aras 12, Blok Tengah Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Presint 2, di sini, hari ini.

Penyerahan cek berjumlah RM25 juta itu disempurnakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membabitkan kesemua 228 buah Sekolah Pondok dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) yang berdaftar, di seluruh negara.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Pendedahan itu diperoleh hasil siasatan dan audit oleh syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC) yang dibentangkan, di Dewan Rakyat bulan lalu.

Malah, TH didakwa menggunakan simpanan pendeposit untuk membayar hibah sehingga menimbulkan kegusaran kepada pendeposit berkaitan status hibah diterima mereka selama ini.

 


Pengarang :