PENDIDIKANSELANGOR

Pendidikan pelaburan terpenting buat negeri – Amirudin

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 1 JAN: Menyedari pendidikan adalah pelaburan terpenting bagi membolehkan sesebuah negeri menjadi lebih baik dan sejahtera, Kerajaan Negeri komited menyalurkan bantuan persekolahan kepada anak Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia dilaksanakan melalui program Back To School melalui sumbangan barangan persekolahan kepada kira-kira 400 kanak-kanak, bagi sesi 2019.

Katanya, langkah itu selaras komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memartabatkan bidang pendidikan, di Selangor.

“Kita mahu bantuan ini mendapat penerimaan secara menyeluruh memandangkan kerajaan mahu akses lebih supaya masalah berkaitan pendidikan di sekolah menengah mahupun rendah dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mini Karnival Back To School Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, di Padang Awam Batu Caves, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, pihaknya juga mahu aspek pendidikan dipertingkat melalui pembangunan gugusan pendidikan bagi kawasan Gombak, bermula tahun ini.

“Kerajaan Negeri melihat aset di Gombak boleh dikembangkan, sekali gus menjadi pemangkin pendidikan di Selangor.

“Semoga dengan usaha dan pelaburan ini akan membolehkan Selangor terus maju dengan pembangunan pendidikan,” katanya.


Pengarang :