dav
SELANGOR

Penduduk perlu tangani denggi secara serius

OLEH SHEEDA FATHIL

PELABUHAN KLANG, 26 JAN: Penduduk setempat perlu menangani isu denggi secara serius dan tidak hanya bergantung kepada tindakan pihak berkuasa semata-mata, kata EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata, penduduk terutama yang tinggal berhampiran atau di kawasan ‘hotspot’ denggi diminta bersama mengambil langkah berjaga-jaga, sebelum penyakit itu merebak lebih teruk.

“Mungkin ada segelintir yang ambil ringan permasalahan denggi kerana diri sendiri belum terkena, namun hari ini kita mahu memberi kesedaran kepada penduduk bahayanya penyakit berkenaan.

“Jalan penyelesaian adalah dengan memastikan rumah kita terutamanya bebas daripada tempat pembiakan Aedes, ambil sedikit masa untuk bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Flat Sri Bahtera, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan masyarakat untuk melindungi diri daripada terkena gigitan nyamuk dengan mengambil langkah bersesuaian.

“Jika anda mahu keluar rumah, pastikan memakai pakaian bersesuaian, elakkan warna hitam kerana potensi nyamuk gigit itu tinggi dan sapukan krim anti nyamuk.

“Namun, jika di rumah pastikan tiada tempat takungan air, gunakan penyembur nyamuk dan tutup pintu serta tingkap terutama pada waktu malam,” katanya.

Terdahulu, Selangor dilaporkan antara yang tertinggi mengalami wabak denggi bermula hujung tahun lalu sehingga minggu kedua tahun ini.

Berdasarkan analisa dilakukan Unit Vektor, Jabatan Kesihatan Selangor mendapati peningkatan adalah melebihi 200 peratus berbanding tahun lalu.

Antara daerah mencatat kumulatif kes tertinggi sehingga 12 Januari lalu adalah Petaling dengan 1,061 kes, Klang (960), Hulu Langat (608) dan Gombak (328).

Manakala, sebanyak 122 lokaliti ‘hotspot’ berjaya dikenal pasti membabitkan 66 di Petaling, Klang (22), Hulu Langat (21), Gombak (12) dan Sepang (satu).


Pengarang :