Empat lelaki seleweng diesel bersubsidi didakwa di mahkamah semalam.
NASIONAL

Pengawal keselamatan curi tayar kereta dipenjara setahun

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Ekoran mencuri empat unit tayar kereta milik seorang jururawat lelaki, seorang pengawal keselamatan dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Chairul Anam Iksan, 35, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap, pada 14 Januari lalu.

Lelaki itu didakwa mencuri empat buah tayar kereta milik Mohd Helmie Ayub, 36, yang bernilai RM3,500 di Kampung Segambut, Sri Hartamas di sini antara jam 11.45 malam 8 Januari hingga jam 7.30 pagi, pada 9 Januari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen serta kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran, namun Chairul Anam yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan isterinya sedang mengandung enam bulan dan dia juga menjaga ibu bapanya.

*Sumber: BERNAMA

 


Pengarang :