Pengusaha hotel, rumah tumpangan tidak sah berdepan tindakan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Pengusaha hotel, rumah tumpangan tidak sah berdepan tindakan

PUTRAJAYA, 6 JAN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha dan penyedia perkhidmatan hotel serta rumah tumpangan tidak berlesan dan berdaftar.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, jika siasatan mendapati premis haram terbabit benar-benar wujud, pihak berkaitan perlu menyenaraikan nama dan bilangan premis untuk diambil tindakan tegas dengan segera kerana ia membabitkan soal keselamatan orang awam yang mendiami premis terbabit.

“Kementerian tidak mahu orang ramai khususnya pelancong tertipu dengan perkhidmatan mereka sediakan dan jika sesuatu yang buruk berlaku, ia tidak hanya membabitkan korban nyawa malah memberi imej buruk kepada pelancongan negara,” katanya dalam kenyataan yang mengulas laporan muka depan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini mengenai hotel tidak sah di bawah tajuk ‘Illegal Hotel Menace’.


Mohamaddin berkata, kementeriannya akan menggerakkan agensi sedia ada untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengesan kewujudan premis haram berkenaan secara lebih kerap.

“Jika boleh kementerian mahu ia dilakukan sebulan sekali agar usaha penipuan ini dapat dipatahkan secara tuntas.

“Perbincangan antara kementerian dengan PBT akan turut menggariskan tindakan tegas bagaimana yang boleh diambil selain tindakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 dan Akta 482 ke atas pengusaha rumah tumpangan tidak berlesen,” katanya.

Mohamaddin berkata, orang ramai juga jangan mudah tertipu dengan promosi premis tidak berdaftar yang membuat promosi bersama premis berdaftar dan berlesen.

“Premis tidak berdaftar juga boleh menipu pelanggan mereka di atas talian dengan harga murah dan reka bentuk menarik. Perbincangan akan turut diadakan bersama kementerian berkaitan bagi menyaring dan menyekat laman web yang dibangunkan pengusaha haram terbabit,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak selepas ini perlu peka dengan situasi dan melihat ke papan lesen dipampang di setiap premis dikunjungi sebelum menginap di mana-mana hotel atau rumah tumpangan.

“Saya juga menyarankan orang ramai melaporkan segera kepada PBT sekiranya wujud premis haram terbabit di kawasan mereka,” katanya lagi.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next