Empat lelaki seleweng diesel bersubsidi didakwa di mahkamah semalam.
NASIONAL

Peniaga didenda RM3,000 miliki kotak mercun haram

PETALING JAYA, 7 JAN: Seorang peniaga didenda RM3,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana memiliki 65 kotak mercun secara haram.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Siew Hong, 43, setelah dia mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki pelbagai jenis mercun antaranya lapan kotak ‘Glow of Sunset’, ‘Saturn Missiles Battery 100 Shots’ (empat), ‘Four Colours Flower’ (empat) dan ‘Pip Squeak’ (lima).

Bapa dua anak itu melakukan kesalahan terbabit di Jalan SS2/67, di sini, pada jam 6.30 petang, pada 4 Januari lalu mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, polis yang melakukan rondaan melihat tertuduh bersama berpuluh kotak mercun di atas meja di hadapannya untuk dijual, sebelum bertindak merampas dan membawanya ke balai polis untuk pemeriksaan lanjut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama, pada masa hadapan.

Bagaimanapun, lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia hanya bekerja sebagai penjual mercun, selain masih menanggung keluarga serta ibu bapa yang sudah tua.


Pengarang :