Penjenayah jadikan kanak-kanak tebusan di Sabah disyaki PATI | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Penjenayah jadikan kanak-kanak tebusan di Sabah disyaki PATI

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Penjenayah yang ditembak mati selepas menjadikan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tebusan, di Apartmen Telipok Ria, Kota Kinabalu, Sabah, disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI).

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, identiti sebenar suspek belum dapat dipastikan ekoran tiada pihak tampil memberi maklumat berkenaan latar belakang lelaki itu.

“Saya dimaklumkan suspek adalah PATI, namun kita masih belum dapat motif sebenar kejadian dan siasatan masih berjalan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan semua jabatan peringkat Bukit Aman, di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Terdahulu, penghuni apartmen itu kecoh dan berada dalam keadaan cemas apabila dikejutkan dengan insiden seorang kanak-kanak perempuan dijadikan tebusan oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Polis Sabah bertindak segera melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek selepas dia mahu mencampak kanak-kanak itu dari tingkap dapur rumah terbabit.

Suspek maut di lokasi kejadian dan kanak-kanak perempuan itu dapat diselamatkan.

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 47 pegawai dan anggota polis sebagai menghargai semangat kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian mereka kepada negara.

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next