SELANGORSUKANKINI

Penyokong harap Red Giants kembali menyinar

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 26 JAN: Penyokong Selangor berharap ‘The Red Giants’ kembali bangkit dan menampilkan persembahan terbaik serta memburu sekurang-kurangnya satu trofi musim ini.

Naeem Ramlan, 27, mengharapkan kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di bawah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dapat mengembalikan kegemilangan pasukan dan akan terus memberikan sokongan kepada skuad bimbingan B Sathianathan.

“Kita mahukan pembaharuan dari segi pengurusan pasukan dan pemain perlu memberikan komitmen penuh sepanjang musim ini.

“Saya yakin kita mampu menjulang sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim ini dan ia boleh dijayakan dengan komitmen semua termasuk penyokong,” katanya kepada SelangorKini yang ditemui pada Majlis Pelancaran Jersi Home dan Away Selangor 2019 di Sunway Resort Hotel & Spa.

Katanya, permulaan kepimpinan Tengku Amir Shah dilihat berjaya menarik semula peminat untuk kembali ke Stadium Shah Alam dan mengharapkan Selangor mengutip tiga mata penuh, pada aksi pertama musim 2019 di Stadium Shah Alam, pada 3 Februari ini.

Bagi Saiful Adli Aziz, 34, penyokong Selangor diharap memberikan sokongan padu kepada pasukan dalam tempoh awal kebangkitan semula selepas mengharungi musim tidak memberangsangkan sebelum ini.

Katanya, pemain perlu memberikan komitmen sepenuhnya bagi merealisasikan harapan penyokong yang dahagakan kejayaan buat The Red Giants.

“Sokongan kepada pasukan Selangor kembali ramai dan diharapkan ia teguh sehingga penghujung musim. Pemain perlu memberikan persembahan terbaik buat penyokong kali ini.

“Tahniah juga buat barisan pengurusan FAS dan diharapkan Selangor dapat bangkit ke arah lebih baik, pada masa akan datang,” katanya.


Pengarang :