NASIONAL

Peratusan keluar undi Cameron Highlands masih rendah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 JAN: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands didapati masih rendah, iaitu 33 peratus sehingga jam 10 pagi tadi.

Peratusan keluar mengundi itu dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui laman twitter rasmi SPR, @sprgovmy.

Namun jumlah itu didapati meningkat berbanding 15 peratus, pada jam 9 pagi tadi.

Sebelum ini Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dilaporkan menyasarkan 70 peratus pengundi keluar mengundi pada PRK Parlimen P078 Cameron Highlands.

Jumlah pemilih yang berdaftar adalah seramai 32,105 orang terdiri daripada 10,752 pengundi Melayu (33.49%), 9,467 (29.49%) Cina, 4,836 (15.06%) India dan 7,050 (21.95%) Orang Asal.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya di Kuala Lumpur mengisytiharkan kerusi Cameron Highlands kosong selepas mendapati terdapat amalan rasuah yang membawa kepada kemenangan calon BN iaitu Datuk C Sivarraajh.

Calon DAP, M Manogaran, mengemukakan petisyen pada Jun lalu yang mendakwa Sivarraajh melanggar Akta Pilihan Raya 1954 apabila didakwa menyogok pengundi Orang Asli.

Manogaran mendakwa, Sivarraajh yang berkempen bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, membayar penduduk Orang Asli antara RM30 hingga RM1,000 melalui tok batin bagi memastikan kemenangan BN dalam pertandingan lima penjuru.

Sivarraajh menang dengan undi 10,307 undi, manakala Manogaran memperoleh 9,710 undi. Calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud memperoleh 3,587 undi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), B Suresh Kumar (680) dan calon parti Berjasa, Mohd Tahir Kassim (81).

Sebelum ini, Sivarraajh menyatakan tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membatalkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 , pada 9 Mei tahun lalu.

Beliau menyatakan akan menghadapi pilihan raya kecil selaras dengan keputusan yang dipersetujui di peringkat kepemimpinan Barisan Nasional dan Jawatankuasa Kerja Pusat MIC.


Pengarang :