SASTERA

Perempuan yang tidak ada

Oleh Lokman Hakim

MUNGKIN aku patut menyimpan seorang perempuan di dalam bagasi. Atau seorang perempuan di dalam almari. Tidak pun aku letak seorang perempuan selaku pintu supaya mereka tidak perlu mengetuk pintu bilik sekuat itu berulang-ulang kali. Cabut sahaja perempuan selaku pintu itu dan pergi jauh-jauh. Kekecewaan mereka ketika menggeledah bilikku tidak terungkap. Kesunyianku tanpa pelukan seorang wanita menghampakan mereka. Tetapi mengapa mereka tidak mengerti, perempuanku adalah kesunyianku? Itupun jika mereka melihatku selaku seorang lelaki heteroseksual yang mendambakan seorang perempuan di dalam hidupku.

Aneh, tidak semua laki-laki yang duduk di hotel murah memerlukan wanita di dalam dakapannya. Aku yakin, mereka tidak pernah mendengar perkataan aseksual. Perbezaan intelektual membuatkan sebarang perbincangan tidak membawa hasil. Daya pemahaman dan persepsi mereka sangat berbeza denganku. Ibarat langit dan bumi. Minyak dan air tidak akan menyatu bukan? Oleh demikian, aku membisu sahaja dalam kebanyakan waktu. Sekadar menjawab apa yang disoal. Ya atau tidak.

Aku pemburu sunyi. Membawa nota di dalam bagasi. Merawat sunyi yang menghuni di dalam setiap bilik yang aku kunjungi supaya ia dapat memeluk setiap lena yang bertandang. Cuma cara aku merawat itu tidak jelas. Sekadar berbekalkan pen dan juga kertas. Beberapa batang pen amat diperlukan kerana aku sangat ligat mengarang. Mata pen cepat pecah kerana tekanan yang dihasilkan oleh tanganku yang barangkali begitu kuat untuk memegang sebatang pen murah.

Merakamkan sunyi dalam kertas itu mampu memberinya bentuk. Bentuk yang aku nukilkan itu akan dituliskan dalam ulasan-ulasan majalah bertema pelancongan. Hotel mana yang lebih enak sunyinya dan hotel mana yang tidak mampu ditemui sunyi, semua aku tuliskan tanpa prejudis. Benar, aku seorang pemburu sunyi yang profesional. Sehinggalah malam itu tiba. Malam celaka yang begitu pekat.

Mungkin aku patut menyimpan seorang perempuan di dalam diriku, supaya yang menyerbu dan mengetuk pintu bilikku dengan kasar akan berlembut. Tetapi mereka tidak mencari perempuan untuk menghargai kelembutannya. Mereka mahu mencari maruahnya untuk dicalarkan dan ditayangkan. Kesungguhan mereka menggeledah katil, almari, bilik mandi, langsir dan luar tingkap amat aku kagumi. Bahkan tukang rakam video yang menyerbu tidak henti-henti bergerak ke segenap sudut bilik merakam apa-apa yang fikirnya, memalukan.

Mereka mencari perempuan itu. Perempuan yang tiada. Perempuan yang ada dalam laporan yang diterima, tetapi tiada pula di dunia nyata. Sudah aku katakan mungkin mereka tersilap ataupun ditipu pelapor, tetapi aku pula dimarahi. Sungguh aku tidak memahami kegilaan mereka mencari perempuan yang tidak ada itu.

Sambil mereka menggeledah, aku meneruskan pekerjaanku menulis sesuatu di atas buku nota. Tetapi pekerjaanku itu agak terganggu kerana mereka berulang kali memintaku menarik laci meja agar mereka dapat memeriksanya. Kata mereka, perempuan itu amat penting. Rahsia mereka terdapat pada perempuan itu. Lalu aku meminta mereka menerangkan ciri-ciri perempuan yang dimaksudkan. Mereka merengus marah. Mereka menuduh aku memerli mereka dengan berbuat seperti tidak tahu apa-apa. Kepalaku dihentak ke atas meja. Berdarah gusiku. Darah membentuk tompok cantik di atas permukaan kertas. Aku terdiam dan mengumpul nafas. Kepalaku terasa panas.

Aku memberitahu, mungkin perempuan yang mereka maksudkan itu sudah berada di dalam kepalaku. Aku menjelaskan, tidak mungkin untuk aku membawa perempuan itu keluar. Otak ini tidak punya pintu. Tidak mungkin aku mengizinkan mereka membelah tempurung kepalaku sewenang-wenangnya. Lalu aku diteriak. Kata mereka, setiap lelaki sentiasa ada perempuan di dalam kepala mereka. Aku membisu sekali lagi. Darah sering bergumpal dalam mulutku. Aku terpaksa pergi ke bilik mandi untuk memuntahkan darah yang begitu banyak. Tiada sekelumit kasihan terpampang pada wajah mereka.

Segera aku hubungi pengurusan hotel, meminta mereka memanggilkan ambulans. Darah tidak berhenti-henti. Aku terpaksa duduk di mangkuk tandas sementara mereka terus-terusan menggeledah bilikku. Dari dalam bilik mandi itu aku mendengar pelbagai suara. Penghuni di bilik sebelah khususnya. Aku yakin sepertimana aku, mereka juga berdepan dengan sekumpulan orang yang mencari perempuan. Mungkin situasi lebih mudah bagi mereka yang punya pasangan. Maka, segeralah mereka beroleh merit dan penghargaan kerana kejayaan mengumpulkan perempuan-perempuan yang mereka gelar jalang itu.

Aku dibawa ke hospital setelah setengah jam menunggu. Mujurlah aku sempat membawa bersama dompet dan juga bagasi milikku. Pendek kata ambulans itu telah menjadi pengangkutan yang membawaku bertukar bilik dari hotel ke wad. Aku berasa lemah. Darah telah banyak hilang. Aku bertanya pada pegawai perubatan yang merawatku di dalam ambulans. Ada ketemu perempuankah di dalam dompet saya? Dalam bagasi saya? Lalu mereka memeriksanya untuk aku. Setelah beberapa ketika, mereka menggeleng. Aku berasa lega.

Keesokan harinya, ketika aku menatal telefon bimbitku, aku terbaca perihal berita kematian sekumpulan pencari perempuan di hotel-hotel murah akibat ditembak seorang perempuan yang baru sahaja mahu menjalankan transaksi penjualan dadah dengan kesunyian yang sudah lama berkurung dalam bilik berhantu di hujung koridor. Begitulah takdir orang yang begitu biadab.

Fikirku, aku mahu menetap di bilik itu apabila kes itu selesai disiasat polis. Kesunyian itu, pastinya menanti seseorang datang dan mendengar keluhan hatinya. Perempuan itu, para pencari perempuan itu, dadah dan juga pistol yang digunakan pasti menakutkan kesunyian itu. Entah bagaimana dia mahu meneruskan kehidupan. Aku tak tahu.


Pengarang :