SELANGOR

Permohonan asrama Bait Al Hasanah LZS kini dibuka

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 JAN: Tawaran kemasukan ke asrama Bait Al Hasanah di bawah pengurusan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kini dibuka bagi sesi pengambilan Mac 2019.

LZS dalam kenyataan memaklumkan, asrama bantuan penuh itu ditawarkan kepada semua pelajar sekolah di bawah kategori asnaf fakir miskin berdaftar berumur antara 10 hingga 16 tahun.

“Borang permohonan boleh didapati di semua cawangan LZS terdekat mengikut daerah masing-masing atau di Kompleks Bait Al Hasanah, Perepat Kapar Klang.

“Lengkapkan borang berkenaan dan pemohon perlu mendapatkan cop sekolah serta pengesahan daripada cawangan LZS.

“Borang boleh dihantar ke cawangan LZS @ Bait Al Hasanah dan pihak asrama akan menghubungi pemohon untuk menghadiri sesi temuduga,” katanya.

Tarikh tutup permohonan ialah pada 13 Februari 2019.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara itu, pemohon boleh terus menghubungi LZS di talian 03-32905020.


Pengarang :